Kontrol Macho kat Berita Harian pulak!

Salam 1 pagi ya kawan-kawan semua! (bestlah korang yang tengah membuta sekarang ni!)

Maaf kerana sudah lama tak mengupdate blog. Rasa-rasanya dah beratus kali saya memohon ampun atas alasan ini. Andai kata kesalahan sebegini memungkinkan saya dipenjara, pasti warden penjara tersebut bakal menjadi member kamceng saya kerana kekerapan saya selalu keluar masuk ke institusi tersebut! (harap-harapnya warden tersebut ada adik yang masih single dan seiras dengan Lisa Surihani…)

Sebenarnya saya dalam keadaan yang sangat tidak terurus sekali sekarang ini kerana banyak tugasan yang perlu dilaksanakan. Kadang-kadang sehingga terpaksa mengorbankan masa tidur dan deting yang berharga itu.

Pernah terjadi satu adegan panas di mana saya terlupa menjemur baju dan meninggalkan mereka keseorangan di dalam mesin basuh selepas 2 hari dibasuh. Di saat tersedar, terus terfikir alangkah indahnya hidup ini sekiranya ada ‘pembantu’ yang boleh meringankan beban saya melaksanakan kerja-kerja remeh tersebut.

Mungkin dengan kehadiran ‘pembantu’ tersebut yang pastinya seiras Lisa Surihani membolehkan saya untuk berkarya dan bekerja dengan lebih gigih lagi . Yang nyata, saya pasti akan tidur lebih awal setiap malam dan akan bangun tersenyum riang setiap pagi! Oh… 😉

Sebelum terlajak kata dan tersesat lebih jauh lagi, baiklah kita kembali semula ke pangkal jalan. Berbalik pada cerita asal, berikut adalah transkrip daripada sesi temuramah saya untuk Berita Harian yang diterbitkan pada awal Februari lalu.

Sengaja saya tempekkan temuramah ni untuk tatapan anda semua. Selain untuk memberi peluang kepada mereka yang terlepas membacanya, ia juga bertindak sebagai kesinambungan aksi riak saya lepas masuk MHI hari tu. 😈

Akhir kata, ucapan terima kasih buat Cik Diyanah Anuar kerana sudi menemuramah saya dan menulis artikel ini. Jika ada jodoh, janganlah segan silu untuk menemuramah saya lagi di masa akan datang. Semoga dengan lebih banyak temuramah  yang tersiar, maka semakin banyak lagi peluang saya untuk lebih riak lagi di masa depan!

Selamat membaca dan mengeja! Tata!! (sambil tangan melambai ayu…) 😀

===========================================================

Di Sebalik Nama: Dunia Ubi

Oleh Diyanah Anuar

Manfaat internet untuk berkarya, pupuk kesedaran dalam kartun

TAMU kolum Di Sebalik Nama minggu ini boleh disenaraikan antara kartunis bebas tempatan yang berjaya memanfaatkan prasarana internet untuk mengembangkan kerjaya sebagai kartunis profesional.

Melalui laman web www.kartunisubi.com yang dibangunkannya kira-kira dua tahun lalu, Ubi bukan saja berinteraksi dengan peminat, malah laman itu juga menjadi gedung online menjual hasil karya.

Melalui laman web ini, Ubi atau nama sebenarnya Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar, melihat sendiri bagaimana 15,000 peminat sudah pun mendaftar dengan anggaran 700 hingga 1,000 peminat melawat laman web tersebut setiap hari.

Ketika ditemui, Ubi berkata, sejak tidak lagi bernaung di bawah syarikat penerbitan, beliau mula mencari jalan menggerakkan karya seninya. Ubi mengakui internet adalah medium paling berkesan termasuk peluang mempromosi karya di luar negara.

Hasilnya, ada antara karya Ubi menarik perhatian pihak luar yang ingin mendapatkan lesen menggunakan karya terbabit bagi tujuan pendidikan. Ternyata, laman web yang dibangunkannya itu menjadi penggerak kepada perjalanan karier Ubi.

Ubi bercerita, minatnya terhadap kartun secara tidak langsung didorong ibunya yang cukup menggemari majalah humor Gila-Gila. Dek sering membaca majalah Gila-Gila yang dibeli ibunya, minat Ubi terhadap kartun mula berputik.

Berbekalkan bakat dan minat, Ubi sering menghasilkan karya dan ada antaranya disiarkan di majalah. Tamat sekolah, Ubi ditawarkan bekerja sebagai kartunis di majalah Ujang terbitan MOY Publications pada 1994. Ubi bergerak solo selepas meninggalkan Ujang pada 2002.

Ketika bersama majalah Ujang, Ubi dikenali sebagai kartunis yang cenderung menghasilkan karya bertema kehidupan pelajar sekolah dan percintaan remaja.

Sejak beberapa tahun lalu, Ubi menampilkan siri Aku, Dia & Test yang berkisar kisah cinta remaja pada laman webnya. Harapan Ubi, melihat siri karyanya itu diadaptasikan ke medium animasi suatu hari nanti.

Mari berkongsi batas kehidupan Ubi…

Bagaimana perasaan anda sebaik ditawarkan bekerja dengan majalah Ujang?

Ketika masuk bekerja, saya adalah kartunis paling muda di majalah itu. Perasaan saya waktu itu cukup teruja kerana dapat bertemu dengan kartunis idola seperti Ujang, Gayour dan sebagainya.

Tidak sangka dapat menjadi rakan sekerja kepada kartunis yang saya minati selama ini. Menjadi budak baru di situ, biasalah, sempat juga saya merasa disuruh membeli makanan dan juga rokok untuk senior. Itu antara kenangan yang saya ingat hingga kini.

Sepanjang kerjaya, pernahkah semangat anda luntur untuk berkarya apabila menghadapi tekanan?

Tidak dinafikan, ada ketikanya semangat untuk bekerja agak berkurangan. Tetapi memikirkan sokongan pembaca yang tidak pernah berhenti, saya kembali bersemangat untuk berkarya dengan lebih baik.

Apa antara siri kartun yang pernah anda hasilkan?

Selepas kira-kira enam bulan menghasilkan karya untuk ruangan Lawak Antarabangsa, saya diberi ruang menghasilkan karya bersiri, Budak Hostel. Banyak kenangan dan pengalaman ketika saya tinggal di asrama dijadikan modal karya siri ini.

Budak Hostel mendapatkan sambutan hangat terutama dari golongan pelajar.

Ceritakan serba sedikit mengenai satu lagi karya popular anda, Aku, Dia dan Volkswagen?

Selepas agak kering idea menghasilkan Budak Hostel dan bimbang pembaca bosan dengan siri itu, saya perkenalkan siri baru, Aku, Dia dan Volkswagen (ADV. Ia mengisahkan seorang remaja lelaki, Ubi yang jatuh hati dengan gadis yang lebih berusia daripadanya iaitu Zurina.

Walaupun temanya kisah cinta, saya cuba berikan sedikit kelainan dalam penyampaiannya. Sengaja saya memilih kisah remaja lelaki yang mencintai wanita yang lebih berusia kerana pada pemerhatian saya, ramai remaja lelaki pernah melalui pengalaman yang sama.

Mesej utama dalam siri ini lebih menjurus kepada kasih sayang dan juga kekeluargaan.

Difahamkan, perjalanan siri ADV ini berhenti separuh jalan?

Siri Aku, Dia dan Volkswagen tergantung selepas saya meninggalkan majalah Ujang. Rasa terkilan juga kerana tidak dapat meneruskan sambungan siri itu. Ketika saya berhenti dari majalah Ujang, jalan ceritanya sudah menghampiri penamat.

Ramai pembaca yang mengikuti siri ini sering bertanya mengenai sambungannya. Tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana hak untuk menerbitkannya terletak di bawah kuasa syarikat penerbitan.

Sambil siri AADV disiarkan, saya juga menghasilkan siri ‘IN’, kisah percintaan gadis tomboy yang jiwanya lebih meminati kaum sejenis. Agak sukar untuk menghasilkan siri ini kerana saya terpaksa meletakkan pemikiran saya sebagai gadis ini.

Ada sebarang maklum balas negatif yang diterima untuk siri ‘IN’?

Memang pada mulanya ada segelintir pihak yang memberi respons negatif. Tetapi kebanyakan pembaca yang mengikuti siri ini boleh melihat sendiri – paparan kisah ini adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat. Siri ini bukan bertujuan menggalakkan amalan atau sesuatu yang berunsur negatif.

Malah, apa yang cuba disampaikan ialah seburuk manapun luaran seseorang, masih ada perkara positif yang boleh kita pelajari darinya.

Bagaimana proses yang anda lalui untuk membina karier anda sebagai kartunis bebas?

Banyak yang saya pelajari selepas meninggalkan syarikat penerbitan tempat saya bernaung sebelum ini. Cara kerja saya mula berubah dan saya mula mencari kaedah berkesan untuk memasarkan karya dan kreativiti saya.

Jadi, saya belajar serba sedikit mengenai selok-belok teknologi maklumat dan perniagaan melalui internet. Pada awalnya, sukar juga untuk melaksanakan projek laman web saya ini kerana beberapa tahun lalu, belum ada lagi mekanisme transaksi bayaran secara online. Tetapi selepas kemudahan itu wujud, semuanya menjadi lebih lancar dan saya fikir, sekarang saya lebih dikenali sebagai kartunis internet.

Pendapatan dijana melalui langganan karya, penjualan cenderahati bertemakan siri karya dan banyak lagi. Biar apapun, saya bersyukur kerana perjalanan yang saya tempuhi sejak mula menceburi dalam bidang ini membawa diri ke tempat sekarang dan semestinya, menjadi impian sesiapa pun untuk lebih berjaya pada masa depan.

INFO:

  • Nama : Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar
  • Tarikh lahir : 26 Jun 1975
  • Umur : 35 tahun
  • Asal : Kuantan , Pahang
  • Laman web : www.kartunisubi.com

Komen dan Pendapat Anda?

14 thoughts on “Kontrol Macho kat Berita Harian pulak!

  1. Salam…

    Tahniah Ubi! Perghh… Dah masuk internet, TV dan skang surat khabar… next majalah pulak ye tak? Dah glamor la Ubi skang ni… Mungkin ini antara hikmah yang positif untuk Ubi sejak kuar dari Ujang… hehe… Harapnye ade lagi karya2 agung Ubi lepas ni…

    anyway, nak tanye skit… T-shirt yang long sleeves dah ade ke blm ek? teringin nak beli buat koleksi… hehe… 😉

  2. Karya UBi mmg ada kelainan..
    dari MENJIWAI org laki yg suka pmpn
    lebih tua dlm ADV,
    dan pmpn yg suka kaum sejenis dlm IN…ermm
    bukan mudah nak menjiwai..tumb up!!

  3. good job! and skg x blh la org cakap yg keje kartunis x de ms depan. sambil bekarya pn blh mengajar..
    paling tidak pn dapat jugak income lebih.. daripada x de langsung..

    sy suka cter IN. tp hampa sbb dah disambung oleh org len. teros stop beli mgzn tu sbb drawing x cantik a.k.a. x de originality..

    -btw, always support msia cartoon specially UBI- hehe
    (bodek) ^.^

  4. huk huk huk…aku sedih bila baca part AADV stop separuh jalan.

    Neway, congrats!

    Hoh, bila nak dapat ‘pembantu’ tersebut?xD

  5. aku beli ujang sbb 3 benda:
    workshop, selangkah ke alam misteri dan budak hostel..
    ..
    terkilan sbb tk dapat abeskan ADV..hope satu hari nnti encik UBi boleh novelkan siri tu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *