Beberapa tahun dahulu…

Beberapa tahun dahulu ada seorang remaja lelaki yang tidak berapa mahir dalam bersukan atau sebarang aktiviti yang memerlukan ketangkasan atau kecekapan fizikal. Beliau sering disisih dan selalu menjadi yang terakhir dipilih untuk menganggotai sesuatu team sukan; samada untuk perlawanan, maupun untuk kelas pendidikan jasmani!

Ya, dunia ini memang kejam… tiada siapa yang mahu berpasukan dengan seorang loser.

Menyedari hakikat, remaja tersebut mengambil keputusan untuk berhenti melibatkan diri dalam segala jenis aktiviti sukan dan lebih gemar menghabiskan masanya bersendirian.

Dikala bersendirian itu beliau hanya membaca buku. Buku bacaan yang digemarinya adalah Majalah Gila-Gila – majalah kartun humor yang pernah popular di suatu ketika dahulu.

Terpengaruh dengan lukisan di dalam majalah tersebut, beliau selalu meniru dan melakar gambar kartun yang dilihatnya. Kini beliau merasa sangat tenang dan seronok apabila dapat menghasilkan lukisan kartun seperti yang terkandung dalam majalah tersebut. Masanya seringkali dihabiskan berlatih menconteng lukisan kartun dan ditingkatkan lagi dengan cubaan mengarang beberapa cerita komik.

Walaupun begitu, lukisan tersebut hanya menjadi koleksi peribadi untuk tatapannya seorang diri sahaja. Ini kerana beliau merasakan bahawa lukisannya itu tidak berapa cantik kerana percaya bahawa beliau memang tiada bakat dalam lukisan.

Keyakinannya itu berdasarkan rekodnya yang sentiasa mendapat markah C atau D dalam matapelajaran lukisan. Belum pernah lagi dalam sejarah hidupnya lukisannya digantung atau dipuji oleh guru lukisan. Di dalam keluarganya pun memang tiada seorang pun yang boleh dikatakan berbakat melukis atau berdarah seni.

Dipendekkan cerita, entah bagaimana buku sketchnya telah dijumpai dan dilihat oleh seorang gadis yang cantik rupawan di dalam kelasnya. Kerana namanya tercatit di situ, si gadis tiada masalah untuk memulangkannya kepada yang empunya.

Si remaja lelaki sangat berpeluh dan menggelabah tatkala melihat buku sketchnya berada dalam genggaman si jelita yang sentiasa menjadi igauan beliau dan rakan-rakan lelaki kelasnya. Beliau sedar bahawa sebentar lagi pasti lukisannya itu akan menjadi modal kutukan rakan sebaya.

Namun apa yang diduga meleset sama sekali…

“Comellah lukisan kartun awak ni… saya suka sangat. Cerita komik awak ni pun seronok… tak sangka saya awak ni pandai melukis…”, puji si gadis sambil tersenyum ketika memulangkan buku sketch tersebut.

Terkesima si remaja itu mendengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut si gadis. Seperti bermimpi rasanya. Suasana itu diindahkan lagi apabila si gadis menjeling kepadanya semula dan menghadiahkan sekuntum lagi senyuman mesra.

Berbekalkan pujian dan senyuman tersebut, minatnya terhadap seni lukis kartun semakin menebal. Beliau semakin gigih melukis dan mencari segala maklumat serta ilmu yang boleh membantunya menghasilkan lukisan kartun bermutu. Tidak seperti dahulu, beliau kini bukan lagi pemalu atau syok sendiri. Lukisan-lukisannya sering sahaja dikongsi bersama rakan-rakan untuk mendengar komen (dan pujian serta bodekan) mereka.

Dipendekkan lagi cerita, remaja lelaki yang tiada bakat melukis itu kini sudah berjaya menempa nama sebagai salah seorang kartunis profesional di Malaysia.

Beliau memakai nama pena UbiKartunis Ubi.

Ya, remaja lelaki tersebut adalah saya…

Mungkin ada yang bertanya kenapa saya berkongsi cerita ini?

Hanya untuk menegaskan bahawa setiap manusia boleh menjadi apa atau siapapun yang dia mahu. Bakat dan kebolehan itu boleh dibentuk dan dilentur. Yang penting minat dan kesungguhan. Jika ada bakat sebesar langit sekalipun, jika tidak berusaha pasti tak membuahkan apa-apa.

Saya juga bukan seorang yang dilahirkan dengan kemahiran atau bakat melukis. Saya juga bermula lambat ketika awal remaja. Namun dengan usaha gigih dan tidak jemu menuntut ilmu, saya berjaya menempatkan karya saya untuk diminati ramai.

Siti Nurhaliza tidak akan menjadi diva biduanita negara jika tidak berlatih menyanyi secukupnya dan tanpa tunjuk ajar komposer berpengalaman.

Safee Sali tidak akan menjadi ‘Super Safee’ tanpa latihan secukupnya di padang dan tanpa bantuan serta dorongan jurulatih.

Percayalah… bahawa setiap kita boleh melukis dan lukisan kita akan jadi semakin baik jika kita mahu.

Yang penting adalah usaha yang gigih tanpa jemu dan belajar menimba ilmu dengan mereka yang berpengalaman

:)

Sekiranya anda berminat untuk memperbaiki mutu lukisan kartun dan komik anda, serta mahu saya untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar supaya perjalanan anda akan menjadi lebih cepat serta mudah; jom sertai saya dan beberapa rakan lain dalam ‘Bengkel Asas Melukis Watak Kartun dan Komik’ yang akan diadakan pada hari Sabtu 2 Jun 2012 ini.

Hanya TERHAD UNTUK 20 ORANG peserta sahaja!

Daftar sekarang untuk menempah tempat duduk anda! 😉

Komen dan Pendapat Anda?

9 thoughts on “Beberapa tahun dahulu…

  1. Haha 2 dia kata azimat dri sifu ubi.bengkel ari sabtu 2 buat kt mane?kalu dekat dgn tmpat aku,blh ngak join.tak keterlaluan kalu aq katakan sifu ubi antara kartunis tbaik mlysia

  2. saya ada bakat melukis dan minat melukis kartun sejak umur 13 tahun. Sekarang saya berumur 21 tahun tapi tak pernah publish kartun sebab tak tau channel yg betul..

  3. Boleh tak bg advice kat mana sy boleh hantar anak sy utk kelas melukis..kedua2 nya sgt minat melukis kartun animation japan. Tp sy tak tahu nak arahkan ke mana.

  4. Saya juga suka melukis tapi bakat dah lama tak asah, tangan pun dah kaku. Nak cuba melukis balik, blh tlg ajar tak huhu… :) Apa pun enjoy utk karya yg hebat ini ^.^

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *